Tuesday, 24 January 2012

ILMU

ILMU
Oleh : Mohd Ikmal bin Asmuni
5 Azam
Pujangga 1
BADAR 2011
SPM 2011

                Saban tahun sesi persekolahan adalah saat yang dinanti-natikan oleh semua insan yang bergelar pelajar. Di sekolah, pelajar dapat bertemu dengan rakan mereka, beramah mesra dan menjalin silaturrahim yang akrab sesame insan. Hal ini memang tidak dapat kita sangkal lagi. Zaman persekolahan adalah zaman yang indah buat diri kita semua. Semua kenangan yang kita lalui pada zaman persekolahan adalah detik yang amat berharga dan tidak dapat dijual beli dengan apa jua sekalipun. Saat-saat indah tersebut juga tidak dapat diulang kembali. Walaupun ada sebilangan pelajar mengatakan sekolah itu membosankan dan sering merungut tentang persekolahan, percayalah pada suatu hari nanti anda semua akan menitiskan air mata kerana terkenang memori indah zaman persekolahan. Ok, kita tutup intro kita dan masuk dalam tajuk utama, iaitu ilmu.

                Sekolah merupakan salah satu institusi yang menyediakan kita dengan pelbagai jenis ilmu. Walaupun  ada yang mengatakan sekolah merupakan institusi yang mengajar subjek untuk peperiksaan, namun sekolah sebenarnya memainkan peranan yang besar dalam membentuk generasi akan datang. Pelbagai ilmu boleh pelajar timba di sekolah.

                Persoalannya kini, kenapa kita perlu sekolah? Tak bolehkah kalau kita tak sekolah? Jawapannya sudah tentu boleh, tetapi tidak lengkaplah hidup kita sebagai seorang manusia terutamanya bagi mereka yang bergelar muslim. Menuntut ilmu itu adalah wajib bagi setiap muslim. Dalam erti kata lain adalah fardhu ain. Dalam soal ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah ini tidak perlulah saya rungkai disini kerana perkara tersebut sudah tidak asing bagi diri kita semua. Kewajipan menuntut ilmu ini dapat dijelaskan berdasarkan hadis Nabi Muhammad s.a.w ;

Rasulullah s.a.w bersabda dan maksudnya :

"Menuntut Ilmu adalah fardhu kepada setiap orang Islam, dan meletakkan ilmu kepada yang bukan ahlinya tidak ubah seperti menggantungkan permata, mutiara dan emas kepada seekor babi."

(Riwayat Ibnu Majah)


                Kenapa kita memerlukan ilmu dalam  kehidupan kita? Saya tak mahu jawab soalan tersebut dan saya ingin anda berfikir sejenak tentang jawapannya. Kerana yang menutut ilmu adalah diri anda sendiri. Kenapa perlu Tanya orang lain, betul tak?

                Baiklah,ilmu sangat penting dalam diri kita. Dengan ilmu kita dapat membentuk diri kita kepada insan yang lebih baik dan sempurna. Dengan ilmu kita dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Tanpa ilmu, hidup kita bagai tiada arah. Allah amat memuliakan mereka yang berilmu.



Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”

(Riwayat al-Bazzar)

            Tahukah anda semua, semasa kita menghadiri majlis-majlis ilmu, Malaikat akan mengembangkan sayapnya dan menaungi kita semua? Alangkah indahnya saat tersebut.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dan maksudnya :

"Malaikat membentangkan kepaknya kepada orang yang menuntut ilmu kerana ia gembira dengan apa yang diperbuatnya (menuntut ilmu ini)."

(Riwayat Ibnu 'Asakir)


                Adapun yang dimaksudkan dengan ilmu adalah bukan ilmu agama sahaja. Ilmu itu adalah umum, ilmu ertinya adalah "Pengetahuan". Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. : 

"Sempurnanya agama dengan ilmu, sempurnanya dunia juga dengan ilmu."

                Di sini, saya ingin mengajak anda semua supaya menyebarkan ilmu yang sudah kita dapat supaya ilmu tersebut dapat diperkembangkan lagi. Menyampaikan ilmu juga dikira sebagai satu sedekah kepada mereka yang kita sampaikan ilmu.

Rasulullah s.a.w. bersabda dan maksudnya :

"Sedekah yang paling afdal ialah apabila seseorang muslim yang belajar sesuatu ilmu dari saudara muslimnya, kemudian ia mengajarkan ilmunya itu kepada saudara muslimnya."

(Riwayat Ibnu Majah)

                Jika kita punya ilmu, amalkanlah ilmu yang ada dalam kehidupan seharian. Jangan jadikan ilmu tersebut sebagai senjata untuk ke dewan peperiksaan sahaja. Merujuk pada perumpamaan "ilmu tanpa amal, ibarat pokok tanpa buah", bermaksud, ilmu, yang tidak diamalkan, maka tidak mendatangkan manfaat.

Berikut saya rangkumkan beberapa potongan hadis tentang ilmu

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali".

Riwayat At-Tarmizi dan Ad-Darimi



Huraian
i) Ilmu ialah mengetahui tentang sesuatu perkara di mana perkara yang boleh diketahui itu bergantung pada kemampuan dan usaha yang dilakukan oleh seseorang itu.
ii) Menuntut ilmu merupakan suatu jihad yang dituntut oleh Islam ke atas setiap penganutnya. Ia menjadikan seseorang itu menduduki martabat yang tinggi berbanding dengan orang yang tidak berilmu.
 
iii) Oleh itu selaku umat Islam kita hendaklah berusaha untuk menambahkan ilmu masing-masing dari semasa ke semasa termasuklah ilmu yang berkaitan dengan Islam kerana darjatnya lebih tinggi di sisi Allah. Malah salah satu daripada petanda ilmu yang berkat itu adalah apabila seseorang itu dengan bertambah ilmunya semakin mulia akhlaknya dan semakin bertakwa ia kepada Allah S.W.T.

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi - sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut - sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai."

Abu Umamah r.a



Huraian
Pengajaran hadith:
i) Usaha mengajar dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat dan membawa kebajikan kepada masyarakat adalah amat tinggi nilainya di sisi Islam.
ii) Bagi sesiapa yang melakukannya akan dilimpahkan rahmat oleh Allah S.W.T. Begitu juga dengan para malaikat dan sekalian makhluk di langit dan di bumi, semuanya berdoa untuknya agar Allah memberikan balasan yang sebaik-baiknya


sumber hadis adalah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)




Perubahan, Dakwah dan Teladan

Perubahan, Dakwah dan Teladan
Oleh : Mohd Ikmal bin Asmuni
5 Azam
Pujangga 1
BADAR 2011
SPM 2011

Assalamualaikum dan salam ukhwah
                Kali ini, saya ingin sekali bercerita kepada anda semua tentang seorang insan yang amat saya kagumi. Beliau bukanlah orang ternama ataupun seorang yang popular di luar sana. Namun beliau adalah seorang yang amat rapat dengan saya. Identiti individu tersebut tidak dapatlah saya rungkaikan kerana yang saya ingin sampaikan disini hanyalah kisah dirinya yang boleh dijadikan teladan kepada kita semua.

                Bermula sebagai seorang yang kurang memahami hakikat sebenar iman dan takwa, beliau seringkali terjerumus ke kancah yang tidak sihat dan terpesong dari dunia islam. Setiap tingkah lakunya bukanlah bersandarkan hakikat sebenar cara hidup seorang yang bergelar muslim. Seharusnya seorang yang bergelar muslim itu bertindak bersandarkan cara hidup muslim yang sebenar. Bagaimana cara hidup muslim yang sebenar? Semua itu telah dirangkumkan dalam kitab suci alquran dan sunnah Rasulullah. 

                Semakin hari semakin bertambah gejala yang tidak sihat berlaku dalam dirinya. Namun, hasil
 didikan dan semangat ingin berubah yang ada pada dirinya telah membuatkan beliau semakin tertarik untuk mendalami cara hidup seorang muslim yang sebenarnya. Niat untuk berubah yang ada pada dirinya sangat mulia dan harus disokong. Tetapi, sokongan yang diharapkan berubah menjadi cemuhan dan ejekan daripada rakan-rakan dan orang sekeliling. Kenapa begitu sekali tindak balas yang ditunjukkan kepada mereka yang ingin sekali mendekatkan diri mereka dengan Allah? Setiap manusia itu berhak untuk kembali ke jalan yang benar selagi pintu taubat Allah masih terbuka dan selagi nyawa masih di jasad.

                Satu persatu persoalan tentang agama diselaminya. Semakin lama semakin banyak bahan ilmiah yang dibacanya. Walaupun menghadapi pelbagai tohmahan dan kata-kata fitnah, semangat untuk kembali ke jalan Allah tidak pernah gugur dan luntur dalam sanubarinya.

                Satu persoalan terdetik dalam fikiran. Apakah pemangkin yang menyebabkan beliau ingin kembali ke pangkal jalan? Masakan pokok bergoyang jika tiada angina, betul tak? Jadi, persoalan ini tak akan saya biarkan terus membelunggu diri ini. Mari kita singkap tirai pesoalan bagaiman beliau menemui hidayah Allah ini. Bermulalah sesi soal jawab saya bersamanya dan berikut merupakan dialog antara kami (diubah suai ke dalam bentuk yang lebih sesuai untuk bacaan. Waktu dan tarikh sesi soal jawab adalah berbeza)

Soalan 1,
Saya lihat awak sekarang minat betul dengan bahan ilmiah terutamanya yang berunsur keagamaan?
Jawapan 1,
Saya seronok baca bahan2 ni semua. Boleh dekatkan diri dengan Allah.
Soalan 2,
Apakah yang menyebabkan anda terdetik untuk mendalami semua ini?
Jawapan 2,
Saya nak tahu semua tentang islam ni sebab saya rasa saya benar2 sudah jauh menyimpang dari ajaran islam yang sebenar. Walaupun dalam kad pengenalan saya tertulis agama saya agama islam, namun saya rasakan islam itu hanyalah pada nama.
Soalan 3,
Siapa yang menggalakkan anda untuk kembali kepada ajaran islam?
Jawapan 3,
Semua ni bermula apabila saya berada di sebuah in stitusi baru yang agak asing bagi diri saya. Kehidupan di tempat tersebut amat berbeza dengan kehidupan saya. Apabila semakin lama saya berada di tempat tersebut barulah saya sedar yang saya dah terpesong dari ajaran islam yang sebenarnya. Saya ada seorang rakan, dia sangat menitikberatkan soal kehidupan cara islam. Walaupun saya bukanlah orang yang mengikut cara islam, namun dia tetap sudi berkawan dengan saya. Setiap kali perbualan dengannya, pasti ada sahaja kata2 nasihat dan pujukan yang membuatkan saya tertarik untuk mendalami ilmu islam.
Soalan 4,
Adakah sebab dia kamu nak berubah?
Jawapan 4,
Faktor utama bukanlah disebabkan olehnya. Dia adalah sebagai pemangkin kepada hijrah dalam diri saya ini. Boleh saya katakana dia adalah sebagai inspirasi kepada saya. Setiap teguran dan nasihat yang disampaikannya boleh diterima dengan baik. Gaya penyampaiannya yang bersahaja dan diselangi dengan konsep humour amat menarik perhatian saya. Tidak ketinggalan juga dengan potongan ayat-ayat alquran dan hadis yang menjadi penguat hujahnya.
Soalan 5,
Jadi bagi kamu, cara dakwahnya yang membuatkan kamu tertarik untuk berubah kepada yang lebih baik?
Jawapan 5,
Jika kita lihat, Rasulullah semasa dakwahnya, baginda sangat lemah lembut dan menyampaikan segala ajaran dengan penuh hikmah. Tiada sebarang kekerasan atau unsur paksaan. Dakwah sebeginilah yang sesuai untuk semua masyarakat. Dia menunjukkan contoh yang baik kepada orang yang ingin disampaikan dakwah kepadanya.
Soalan 6,
Adakah dia meminta supaya anda berubah dengan cepat?
Jawapan 6,
Sudah tentu tidak. Manusia tidak boleh terus berubah secara drastik. Perubahan memerlukan kita melalui pelbagai peringkat. Dikhuatiri jika kita berubah secara drastik, kita tidak akan istiqamah dan tiada rasa ikhlas untuk berubah kerana Allah.

                Itulah sedikit sebanyak persoalan yang dapat saya ajukan kepadanya. Siapa yang memberi dakwah kepadanya tidak perlulah saya nyatakan di sini. Jika kita lihat disini, dakwah yang disampaikan kepada rakan kita itu adalah tidak bersandarkan kepada paksaan. Dakwah yang disampaikan adalah dengan penuh hikmah dan uswatun hasanah iaitu contoh yang baik.

                Setelah sekian lama bersahabat dengannya, beliau masih mendalami ilmu agama tanpa jemu dan sering mendekatkan diri beliau dengan yang Maha Kuasa. Semoga coretan ini memberi manfaat kepada anda semua.
                Coretan yang dihasilkan ini tidak mempunyai tema yang utama. Ianya lahir dari hati berdasarkan kisah benar. Semoga anda semua dapat mengupas makna tersirat yang terkandung dalam coretan ini dan dapat digunakan dalam kehidupan seharian kita di dunia ini untuk mencapai kebahagiaan abadi di akhirat kelak. And baca, anda yang menilai. Wallahu a’lam.
Salam ukhwah




cinta, Uhibbukafillah

Cinta, Uhibbukafillah
                Assalamualaikum sahabat semua. Kali ini, saya ingin sekali bercerita tentang cinta. Dalam diam, setiap daripada kita menyimpan perasaan cinta. Sudah menjadi fitrah manusia untuk mempunyai perasaan cinta. Perasaan cinta ini amatlah penting dalam diri kita. 
                Demi Allah, kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman. Tidak sempurna keimanan kalian sehingga kalian saling mencintai. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu, yang mana  jika kalian melakukannya nescaya kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian! (HR. Muslim).

Dalil yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah sabda Rasulullah SAW, “Tidak sempurna keimanan kalian sehingga kalian saling mencintai”. Hadis ini menunjukkan tentang besarnya pahala saling mencintai kerana Allah.
                Sebagai pelajar yang bersekolah di sekolah berasrama penuh, sahabat merupakan insan yang paling dekat dengan kita. Tidak kira sama ada sahabat di kelas, dorm mahupun asrama. Satu ungkapan yang sering saya mainkan di bibir saya adalah ucapan uhibbukafillah. Maksudnya adalah mencintaimu kerana Allah. Mesti ada yang tertanya-tanya bagaimana kita hendak pupuk rasa cinta kerana Allah.
                Perasaan cinta kerana Allah ini juga merupakan salah satu syarat bagi seseorang muslim untuk mencapai halawatul iman. Apa itu halawatul iman? Halawatul iman adalah kemanisan iman. Apakah syarat-syarat untuk mencapai darjat tersebut?

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik ra)

                Manisnya iman adalah rasa nikmat ketika melakukan ketaatan kepada Allah, ketenangan jiwa, kesenangan hati dan lapangnya dada.
                Baiklah, kita tutup sebentar perbincangan tentang halawatul iman dan masuk kembali ke tajuk cinta kerana Allah.
Mencintai seseorang kerana Allah maksudnya menjaga hubungan kasih sayang antara seorang Muslim dengan saudaranya atas landasan iman kepada Allah SWT dan amal soleh.
Kita mencintai saudara kita bukan kerana keuntungan kebendaan atau harta, kita membencinya atau menjauhinya bukan kerana kemiskinan atau tidak memperoleh manfaat dunia darinya. Ukuran kecintaan kita kepadanya adalah atas dasar iman dan amal salih.Tanda mencintai seseorang muslim juga ialah menolongnya pada saat dia memerlukan bantuan, tidak membuka aib, tidak membenci, tidak iri dan dengki terhadap nikmat yang diberikan Allah kepada saudara kita.
Selain itu kita juga hendaklah mendoakan buat saudara kita tanpa pengetahuannya dan mengucapkan salam jika bertemu, bertanya khabar keadaannya, tidak berkelakuan sombong kepadanya.
Berdasarkan satu forum yang telah dihadiri, satu persoalan tentang cinta kerana Allah telah diutarakan kepada pihak panel dan berikut merupakan jawapannya ;
                "Jika kerana bercinta dengannya, kita makin mendekatkan diri dengan Allah, makin cinta kepada Allah, makin rindu kepada Allah, makin banyak beribadat kepada Allah, makin takut melakukan maksiat, makin berusaha menjadi hamba Allah yang lebih baik, maka itulah buktinya kita mencintainya kerana Allah.."

                "Sebaliknya, jika kerana kita bercinta dengannya, kita makin jauh dengan ALlah, makin berbuat maksiat, menambahkan himpunan dosa, bergayut di telefon sampai lupa ibadat, berchatting hingga tidur lewat sampai lalai melaksanakan solat subuh, berpegang tangan berpelukan melakukan maksiat, maka ini pula buktinya kita mencintainya bukan kerana Allah.."

                Jawapan dan contoh yang diberikan agak mudah untuk diterima, si penanya menganggukkan kepala tanda setuju dan saya sendiri juga turut akur dan mengiyakan apa yang dikatakan. Cinta kerana Allah. Begitulah hebat dan indah. Siapa yang mahu? Siapa yang berjaya memperolehnya? Berusahalah.. bermohonlah dari Allah, agar kita dikurniakan cinta itu, cinta kerana Allah.


Jika Salah Seorang?

                Bagaimana pula seandainya hanya salah seorang dari kita yang bercinta kerana Allah, tapi pasangan kita sebaliknya?

                Contoh mudah, si hawa yang dulunya serba sederhana, muslim sekadar melakukan yang wajib, bila berkenalan dengan seorang ustaz, sama-sama jatuh cinta lalu si hawa berusaha menjadi lebih baik dari sebelumnya. Memperbaiki diri, mendekatkan diri kepada Allah dan sebagainya.

                Berbeza dengan si ustaz yang dulunya menjaga ikhtilat dan pergaulan, banyak beribadat dan menjaga diri dari maksiat, sebaik sahaja mengenali si hawa, berubah sikap 180 darjah, mula kemaruk cinta hinggakan kalau boleh mahu bergayut di telefon 24jam sehari, demi rindu yang membara, sedikit demi sedikit sifat negatif menular dalam diri.

Semoga memberi manfaat kepada anda semua.
Salam ukhwah,
Mohd Ikmal bin Asmuni
5Azam
Pujangga 1
BADAR 2011
SPM 2011





Monday, 23 January 2012

MOTIVASI

GAGAL, PUTUS ASA, KECEWA.... PANDANGAN ISLAM...

                Kegagalan. Satu perkataan yang sudah sebati dalam hidup makhluk yang bernama manusia. Setiap daripada kita pasti pernah mengalami kegagalan. Namun, setiap kali kita gagal, kita tak mahu menerimanya dengan reda. Seharusnya kita tabah dan menerima dengan seadanya. Seringkali kita lihat kekecewaan melanda diri setiap insan yang mengalami kegagalan. Kekecewaan ini akan menjadi lebih parah sekiranya disusuli oleh perasaan putus asa.

                Adakah perasaan putus asa itu adalah sesuatu perkara yang wajar apabila kita menghadapi kekecewaan? Kita seringkali mendengar setiap orang yang berjaya pasti akan melalui kegagalan walaupun kegagalan yang kecil. Kegagalan bukanlah penutup bagi sesuatu perjuangan. Jalan orang yang berjaya tidak pernah lurus, oleh itu kita seharusnya tanam azam dan tekad yang kukuh dalam sanubari kita untuk lebih terus berusaha andainya kegagalan menimpa kita. Berbaloikah usaha yang kita lakukan sekiranya kita gagal pada permulaan dan berhenti di situ sahaja? Kita telah dikurniakan akal dan fikiran yang waras oleh Allah, jadi gunakanlah nikmat kurniaan tersebut dengan sebaiknya untuk merungkai perosalan ini.

                Saya ingin mengajak anda berfikir sejenak, adakah kegagalan yang membawa kepada rasa putus asa? Atau adakah putus asa yang membawa kepada kegagalan? Jawapannya sudah tentu rasa putus asa yang menjerumuskan kita ke arah kegagalan. Sikap putus asa ini seharusnya kita lawan dan jangan sesekali benarkan perasaan tersebut menguasai diri kita.

                Perasaan putus asa bukanlah sikap yang baik untuk mereka yang bergelar pelajar sama ada pelajar di peringkat rendah, pertengahan ataupun peringkat tinggi. Kerana, dalam dunia sebagai seorang pelajar terlalu banyak dugaan dan kepayahan yang akan ditempuh.Hanya terletak kepada mereka yang mengidamkan kejayaan yang akan terus mempertahankan kekebalan semangat mereka tanpa menghiraukan rasa putus asa yang sering datang tidak mengira masa dan waktu.Jika terasa malas sewaktu belajar, itu juga merupakan sikap putus asa yang membawa kepada kegagalan.
               
                Kita perlu ingat, jangan jadikan putus asa sebagai salah satu agenda dalam diari hidup kita.Tetapi jadikan rasa inginkan kejayaan dan mengejar kepada kehidupan yang lebih bermakna sebagai matlamat kita.Putus asa seakan musuh yang tidak kita menyedarinya. Sikap itu datang dalam keadaan spontan dan halus.Seharusnya kita mengetahui erti putus asa.Putus asa ialah musuh utama yang akan membawa kepada pelbagai sikap negatif lain.Malas timbul kerana rasa putus asa. Hilang semangat juga timbul kerana putus asa.Semuanya bermula daripada putus asa.Jangan biarkan rasa putus asa menguasai diri kerana akan membawa kepada sikap negatif yang lain.

                Sikap putus asa amatlah dilarang dalam islam. Ini adalah berdasarkan fiman Allah ;

“……dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir” – Surah Yusuf Ayat 87

                Setiap daripada kita juga tidak akan terlepas daripada pelbagai ujian dan dugaan dalam menempuh hidup di dunia ini. Tidak akan ada satu makhluk pun yang tidak akan ditimpakan keatasnya ujian dan dugaan. Alangkah kekasih Allah, Nabi Muhammad juga Allah turunkan pelbagai ujian dan dugaan kepada baginda sepanjang usaha baginda menyampaikan dakwah menyebarkan agama islam yang maha suci ini. Hal ini bertepatan dengan firman Allah di dalam alQuran ;

“Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
Dan dalam ayat yang lain Allah menerangkan: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan; Kami telah beriman sedang mereka tidak diuji lagi?”

                Setiap ujian dan dugaan yang dihadapi oleh setiap makhluk adalah berbeza. Ada yang diuji dengan kegagalan, kekecewaan, urusan hidup yang susah, kemiskinan dan kesedihan. Tidak ketinggalan juga mereka yang diuji dengan kekayaan, harta dan kuasa untuk Allah melihat sejauh mana rasa syukur mereka kepada Allah. Ujian dan dugaan yang dihadapi seharusnya tidak menjadi penghalang, malah akan menjadi batu loncatan kepada diri kita untuk terus memacu kejayaan yang lebih cemerlang di muka bumi ini. Kita seharusnya bijak mengubah nasib diri kita sendiri dengan segala kudrat yang telah dikurniakan kepada kita. Firman Allah di dalam alquran, surah ar-ra’d, ayat 11 ;

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.

Seperkara lagi, kita seharusnya percaya bahawa Allah tidak akan menimpakan ujian dan dugaan kepada hambanya seandainya hambanya tidak mampu menghadapinya. Setiap dugaan yang kita hadapi pasti ada jalan penyelesaiannya. Firman Allah dalam surah al-Insyirah (as-Syarh)

Kerana sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan, 


sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan
.

                Sentiasa memohon pertolongan Allah dalam segenap hal dan bertawakal kepada Allah. Dari Abdullah Bin Mas”ud RA, bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yanny selalu ditimpa kesedihan/kegundahan maka hendaklah dia membaca: “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-mu, dan anak abdi-Mu, dan anak-anak-Mu, dan (berada) didalam genggaman-mu, ubun-ubunku ditangan-Mu, dan berlaku keatas (diri) ku hukum-Mu, dan adil padaku ketentuan-Mu, aku memohon kepadaMu dengan semua nama milik-Mu, (samada) yang Engkau namakan diri-Mu dengannya, atau yang Engkau turunkan dia di dalam kitab-Mu, atau yang Engkau simpan tersembunyi di alam ghaib disisi-Mu; kiranya Engkau jadikanlah Al Quran sebagai penghibur hatiku, dan sebagai penawar kesedihanku dan kedukaanku”. Tidak seorang hambapun yang membaca doa tersebut melainkan Allah hilangkan kedukaannya dan diganti-Nya (kesedihan itu) dengan kegembiraan.

Salam ukhwah,
Mohd Ikmal bin Asmuni
5 Azam
Pujangga 1
SPM 2011


MAULIDURRASUL

Assalamualaikum
            Tanggal 12 Rabiulawal menjelma lagi pada tahun ini. Hari yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat islam, iaitu hari kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. jika kita lihat, pelbagai amalan dilakukan oleh umat islam untuk menyambut hari yang penuh makna ini. Kalimah selawat sentiasa membasahi bibir pengucapnya.
            Salah satu amalan yang sering dilakukan oleh umat islam terutamanya umat islam di Malaysia adalah bacaan Berzanji. Tahukah anda apa itu Berzanji? Mungkin ada yang sangat mengenalinya dan mungkin juga ada yang langsung tidak mengenalinya. Jika di SAMURA, berzanji merupakan salah satu acara yang dipertandingkan dalam Minggu Kesenian Islam. Kali ini, saya ingin mengajak anda untuk mengenali dengan lebih lanjut apa itu Berzanji.
            Kitab berzanji adalah sebuah kitab kumpulan sajak. Ia merupakan salah satu cabang seni suara warisan melayu dari golongan syair yang mempunyai unsur pengaruh Arab. Kitab berzanji ini mengandungi syair puji-pujian mengenai kehidupan Rasulullah s.a.w.

            Isi berzanji menceritakan tentang kehidupan Nabi Muhammad, yang disebutkan secara berturutan mengenai salasilah keturunannya, zaman kanak-kanak, remaja, pemuda sehingga diangkat menjadi rasul. Di dalamnya juga mengisahkan sifat-sifat mulia yang dimiliki Nabi Muhammad, serta pelbagai peristiwa untuk dijadikan teladan umat manusia.
           
            Sejarah Berzanji
            Nama Berzanji diambil dari nama pengarangnya yaitu Syekh Ja'far al-Barzanji bin Husin bin Abdul Karim. Beliau lahir di Madinah pada tahun 1690 dan meninggal dunia pada tahun 1766. Barzanji berasal dari nama sebuah tempat di Kurdistan, Barzinj. Karya tersebut sebenarnya berjudul 'Iqd al-Jawahir (Bahasa Arab, bererti kalung permata) yang disusun untuk meningkatkan rasa kecintaan kepada Nabi Muhammad saw, meskipun kini nama penulisnya yang lebih dikenali.
            Bagaimana kitab berzanji ini wujud? Menurut sejarah, ia wujud ketika peperangan antara islam dan kristian yang ketika itu angkatan islam dipimpin oleh Salahuddin Al-Ayyubi. Ketika itu, tentera kristian yang dipimpin oleh Richard the Lion Heart sedang meraikan hari Natal(Krismas), maka Salahuddin Al-Ayyubi  mengadakan sayembara menulis sajak-sajak pujian kepada Rasulullah s.a.w untuk dibacakan pada hari mengingati kelahiran nabi buat pertama kalinya. Sayembara ini telah dimenangi oleh Abu Jaafar dan karyanya dideklamasikan ketika hari mengigati kelahiran nabi atau lebih kita kenali sebagai Perayaan Maulid Rasul pada ketika ini.Sajak yang menceritakan Riwayat kelahiran Rasulullah s.a.w dalam kitab berzanji adalah mengikut turutan dan ia bertepatan dengan sirah@ riwayat kelahiran Rasulullah s.a.w yang sebenar. Jadi, Kita tak perlulah risau untuk membaca kitab Berzanji sebab ia tidak melanggar syariah islam.

            Pembacaan Berzanji pada umumnya dilakukan di majlis-majlis dengan niat untuk mendapat keberkatan. Misalnya pada waktu kelahiran bayi, mencukur rambut bayi (aqiqah), acara khatan, perkahwinan dan sebagainya. Di masjid-masjid perkampungan, biasanya jemaah duduk secara bersila. Bacaan Berzanji dialunkan secara bergilir seorang demi seorang sambil disahuti oleh jemaah lain dengan kalimah 'ALLAH'.
            Di Malaysia, terdapat juga adat pembacaan Berzanji yang dilakukan secara bersama-sama dengan bayi yang baru lahir dicukur rambutnya dalam bulatan oleh Imam dan ahli keluarga terdekat. Sementara baju atau kain orang-orang yang sudah memegang bayi tersebut, kemudian diberi titisan minyak wangi.
            Dewasa ini, bacaan berzanji semakin berkurangan walaupun Buku Berzanji masih mudah didapati.

Mohd Ikmal bin Asmuni
SPM 2011
BADAR 2011
5AZAM
PUJANGGA 1



Sunday, 22 January 2012

warkah

Assalamualaikum

                Hari ini saya nak bercerita tentang hidup. Siapa kata hidup ni akan sentiasa indah? Sebenarnya dalam hidup ni kita akan menempuh pelbagai dugaan sama ada kita sedar atau tidak. Tapi, dugaan itu tak akan datang kat kita sekiranya kita tidak mampu untuk atasinya. Percayalah di sebalik kesulitan pasti ada kesenangan.
                Saya nak cerita tentang kisah hidup saya sepanjang zaman persekolahan menengah saya. Saya bermula sebagai seorang pelajar tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Seth, Yong Peng. Kehidupan di sekolah baru amat asing bagi aku. Tapi alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Saya akhirnya menamatkan tingkatan 1 dengan mendapat tempat pertama seluruh tingkatan. Pada tahun berikutnya, saya telah mendapat tawaran untuk ke kelas 2 Optimis, kelas yang dirancang khas untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar. Berbeza dengan pelajar tingkatan 2 yang lain, kelas saya dijalankan pada sesi pagi. Sekali lagi selepas peperiksaan akhir tahun, saya telah berjaya mendapat tempat pertama untuk seluruh tingkatan 2.
                Tahun berikutnya, saya berada di kelas 3 Optimis. Tahun PMR untuk saya. Setelah pelbagai usaha dan latihan yang telah dilakukan, alhamdulillah saya telah mendapat 8A dalam PMR. Harapan saya untuk beri hadiah 8A kepada ibu bapa menjadi kenyataan. Tidak lama kemudian, saya telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Sains Muar, salah sebuah Sekolah Berasrama Penuh. Sekolah Menengah Sains Muar merupakan sekolah yang terbaik di negeri Johor dalam SPM. Jadi saya telah ambil keputusan untuk terima tawaran tersebut. Walaupun menghadapi sediit kesulitan dalam menguruskan hal-hal perpindahan, tapi saya tetap nekad untuk meneruskannya kerana saya yakin, saya boleh berjaya di sekolah tersebut.
                Pada tanggal 2 Februari 2010, saya dan keluarga telah tiba di SAMURA. Teruja rasanya untuk menjadi salah seorang warga SAMURA dan warga SBP. Setelah mendaftar, saya  telah dibawa ke asrama oleh pengiring yang merupakan seorang pelajar tingkatan 5. Saya telah ditempatkan di kamar Pujangga 1 dan kelas 4 Azam. Seronok rasanya dapat berkenalan dengan rakan yang berbeza budaya dan tempat tinggal. Pelbagai pengalaman dan cerita menarik sempat dikongsi bersama-sama mereka. Rakan kamar saya ada 10 orang pelajar tingkatan 4 dan 3 orang pelajar tingkatan 5. Kehidupan sebagai seorang pelajar tingkatan 4 agak sukar pada permulaannya. Saya telah demam selama 3 hari setelah seminggu berada di SAMURA. Tapi bagi saya, demam itu adalah perkara biasa bagi saya apabila saya berada di tempat baru. Pelbagai aktiviti telah saya sertai semasa di tingkatan 4, antaranya adalah pertandingan Berzanji sempena Malam Kesenian Islam, drama Seni warisan, kuiz dan pertandingan folio biologi. Alhamdulillah semua penyertaan telah membuahkan hasil yang lumayan. Pernah seketika saya terfikir untuk kembali ke sekolah lama kerana tidak tahan dengan keadaan di SAMURA. Tapi hasil pujukan rakan-rakan, saya terus kekal di SAMURA. Akhirnya, peperiksaan akhir tahun tingkatan 4 telah tiba dan saya telah mendapat keputusan 7A 2B.
                Kemudian, bermulalah kehidupan sebagai seorang pelajar tingkatan 5 pada tahun 2011. Tahun SPM sungguh mendebarkan. Hari-hari yang dilalui bagai terlalu cepat berlalu. Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti di luar kelas kerana menggalas tugas dan amanah, saya tetap gagahkan diri ini untuk terus belajar dan terus belajar. Pelbagai tugas telah saya galas. Antaranya adalah sebagai seorang pengawas, naqib, setiausaha majlis hal ehwal pelajar dan ajk fizik kelas. Semua jawatan tersebut memerlukan saya melakukan tugas dengan sempurna supaya semua aktiviti di sekolah berjalan dengan lancar. Pada tahun ini juga, saya telah menemui kemanisan mempunyai sahabat. Sahabat yang amat berharga dalam kehidupan seharian kita. Pelbagai perkara kami kongsi bersama. Kemanisan bersahabat ini juga telah memupuk semangat tolong menolong dan sayang menyayangi. Bolehkah anda bayangkan diri anda tanpa sahabat? Umpama kita menepuk tangan dengan dengan menggunakan 1 jari sahaja. Walaupun masih berbunyi tapi tidak sekuat tepukan dengan menggunakan kesemua jari anda. Seronok dapat belajar bersama rakan-rakan. Suka dan duka dikongsi bersama. Segala masalah diselesaikan bersama. Sungguh berharga pengalaman sebegitu. Walaupun pelbagai tohmahan dan fitnah yang melanda diri, masih ada sahabat yang sudi mempertahankan diri ini dan menangkis segalanya. Terima kasih sahabat.
                Kemudian tibalah masa untuk menghadapi SPM. Sebelum bermulanya SPM, saya terpaksa menghdapi detik perpisahan bersama insan-insan yang disayangi. Tapi tidak mengapa kerana saya pasti kami akan bersua kembali pada suatu ketika nanti. Hari-hari peperiksaan SPM dihadapi dengan penuh fokus bersama rakan-rakan yang lain. Setiap saat digunakan denga sebaik mungkin. Belajar bersama-sama ketika waktu lapang. Semuanya berusaha untuk mencapai yang terbaik untuk diri sendiri. Semoga kita semua sukses ketika keputusan diumumkan. Salam ukhwahfillah.

Tinta ini ditujukan khas kepada semua warga 4 azam(2010), 5 azam(2011), 4 arif(2011), warga pujangga 1 aspura dan aspuri.
Tidak dilupakan juga kepada semua batch 28 dan batch 29 yang sentiasa berada di sisi sepanjang perjuangan di bumi bertuah SAMURA.
Terima kasih kepada Amirul Izwan dan Mohd Huzarfur yang menjadi teman belajar sepanjang peperiksaan SPM. Gelak tawa, perasaan cemas bersama kamu berdua sangat berharga.



Thursday, 19 January 2012

TIGA MINGGU DI PLKN

FUUUUHHHHHHHHH!!!!
berhabuk sudah blog nie....
dah lama tak sentuh
ni sobab eden masuk PLKN kat negeri sembilan lah nie....
takpe2..... ti lain kali eden buat post lagi.... eden penat giler nie.....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...