Tuesday, 24 January 2012

ILMU

ILMU
Oleh : Mohd Ikmal bin Asmuni
5 Azam
Pujangga 1
BADAR 2011
SPM 2011

                Saban tahun sesi persekolahan adalah saat yang dinanti-natikan oleh semua insan yang bergelar pelajar. Di sekolah, pelajar dapat bertemu dengan rakan mereka, beramah mesra dan menjalin silaturrahim yang akrab sesame insan. Hal ini memang tidak dapat kita sangkal lagi. Zaman persekolahan adalah zaman yang indah buat diri kita semua. Semua kenangan yang kita lalui pada zaman persekolahan adalah detik yang amat berharga dan tidak dapat dijual beli dengan apa jua sekalipun. Saat-saat indah tersebut juga tidak dapat diulang kembali. Walaupun ada sebilangan pelajar mengatakan sekolah itu membosankan dan sering merungut tentang persekolahan, percayalah pada suatu hari nanti anda semua akan menitiskan air mata kerana terkenang memori indah zaman persekolahan. Ok, kita tutup intro kita dan masuk dalam tajuk utama, iaitu ilmu.

                Sekolah merupakan salah satu institusi yang menyediakan kita dengan pelbagai jenis ilmu. Walaupun  ada yang mengatakan sekolah merupakan institusi yang mengajar subjek untuk peperiksaan, namun sekolah sebenarnya memainkan peranan yang besar dalam membentuk generasi akan datang. Pelbagai ilmu boleh pelajar timba di sekolah.

                Persoalannya kini, kenapa kita perlu sekolah? Tak bolehkah kalau kita tak sekolah? Jawapannya sudah tentu boleh, tetapi tidak lengkaplah hidup kita sebagai seorang manusia terutamanya bagi mereka yang bergelar muslim. Menuntut ilmu itu adalah wajib bagi setiap muslim. Dalam erti kata lain adalah fardhu ain. Dalam soal ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah ini tidak perlulah saya rungkai disini kerana perkara tersebut sudah tidak asing bagi diri kita semua. Kewajipan menuntut ilmu ini dapat dijelaskan berdasarkan hadis Nabi Muhammad s.a.w ;

Rasulullah s.a.w bersabda dan maksudnya :

"Menuntut Ilmu adalah fardhu kepada setiap orang Islam, dan meletakkan ilmu kepada yang bukan ahlinya tidak ubah seperti menggantungkan permata, mutiara dan emas kepada seekor babi."

(Riwayat Ibnu Majah)


                Kenapa kita memerlukan ilmu dalam  kehidupan kita? Saya tak mahu jawab soalan tersebut dan saya ingin anda berfikir sejenak tentang jawapannya. Kerana yang menutut ilmu adalah diri anda sendiri. Kenapa perlu Tanya orang lain, betul tak?

                Baiklah,ilmu sangat penting dalam diri kita. Dengan ilmu kita dapat membentuk diri kita kepada insan yang lebih baik dan sempurna. Dengan ilmu kita dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Tanpa ilmu, hidup kita bagai tiada arah. Allah amat memuliakan mereka yang berilmu.



Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”

(Riwayat al-Bazzar)

            Tahukah anda semua, semasa kita menghadiri majlis-majlis ilmu, Malaikat akan mengembangkan sayapnya dan menaungi kita semua? Alangkah indahnya saat tersebut.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dan maksudnya :

"Malaikat membentangkan kepaknya kepada orang yang menuntut ilmu kerana ia gembira dengan apa yang diperbuatnya (menuntut ilmu ini)."

(Riwayat Ibnu 'Asakir)


                Adapun yang dimaksudkan dengan ilmu adalah bukan ilmu agama sahaja. Ilmu itu adalah umum, ilmu ertinya adalah "Pengetahuan". Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. : 

"Sempurnanya agama dengan ilmu, sempurnanya dunia juga dengan ilmu."

                Di sini, saya ingin mengajak anda semua supaya menyebarkan ilmu yang sudah kita dapat supaya ilmu tersebut dapat diperkembangkan lagi. Menyampaikan ilmu juga dikira sebagai satu sedekah kepada mereka yang kita sampaikan ilmu.

Rasulullah s.a.w. bersabda dan maksudnya :

"Sedekah yang paling afdal ialah apabila seseorang muslim yang belajar sesuatu ilmu dari saudara muslimnya, kemudian ia mengajarkan ilmunya itu kepada saudara muslimnya."

(Riwayat Ibnu Majah)

                Jika kita punya ilmu, amalkanlah ilmu yang ada dalam kehidupan seharian. Jangan jadikan ilmu tersebut sebagai senjata untuk ke dewan peperiksaan sahaja. Merujuk pada perumpamaan "ilmu tanpa amal, ibarat pokok tanpa buah", bermaksud, ilmu, yang tidak diamalkan, maka tidak mendatangkan manfaat.

Berikut saya rangkumkan beberapa potongan hadis tentang ilmu

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali".

Riwayat At-Tarmizi dan Ad-Darimi



Huraian
i) Ilmu ialah mengetahui tentang sesuatu perkara di mana perkara yang boleh diketahui itu bergantung pada kemampuan dan usaha yang dilakukan oleh seseorang itu.
ii) Menuntut ilmu merupakan suatu jihad yang dituntut oleh Islam ke atas setiap penganutnya. Ia menjadikan seseorang itu menduduki martabat yang tinggi berbanding dengan orang yang tidak berilmu.
 
iii) Oleh itu selaku umat Islam kita hendaklah berusaha untuk menambahkan ilmu masing-masing dari semasa ke semasa termasuklah ilmu yang berkaitan dengan Islam kerana darjatnya lebih tinggi di sisi Allah. Malah salah satu daripada petanda ilmu yang berkat itu adalah apabila seseorang itu dengan bertambah ilmunya semakin mulia akhlaknya dan semakin bertakwa ia kepada Allah S.W.T.

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi - sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut - sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai."

Abu Umamah r.a



Huraian
Pengajaran hadith:
i) Usaha mengajar dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat dan membawa kebajikan kepada masyarakat adalah amat tinggi nilainya di sisi Islam.
ii) Bagi sesiapa yang melakukannya akan dilimpahkan rahmat oleh Allah S.W.T. Begitu juga dengan para malaikat dan sekalian makhluk di langit dan di bumi, semuanya berdoa untuknya agar Allah memberikan balasan yang sebaik-baiknya


sumber hadis adalah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...