Monday, 23 January 2012

MOTIVASI

GAGAL, PUTUS ASA, KECEWA.... PANDANGAN ISLAM...

                Kegagalan. Satu perkataan yang sudah sebati dalam hidup makhluk yang bernama manusia. Setiap daripada kita pasti pernah mengalami kegagalan. Namun, setiap kali kita gagal, kita tak mahu menerimanya dengan reda. Seharusnya kita tabah dan menerima dengan seadanya. Seringkali kita lihat kekecewaan melanda diri setiap insan yang mengalami kegagalan. Kekecewaan ini akan menjadi lebih parah sekiranya disusuli oleh perasaan putus asa.

                Adakah perasaan putus asa itu adalah sesuatu perkara yang wajar apabila kita menghadapi kekecewaan? Kita seringkali mendengar setiap orang yang berjaya pasti akan melalui kegagalan walaupun kegagalan yang kecil. Kegagalan bukanlah penutup bagi sesuatu perjuangan. Jalan orang yang berjaya tidak pernah lurus, oleh itu kita seharusnya tanam azam dan tekad yang kukuh dalam sanubari kita untuk lebih terus berusaha andainya kegagalan menimpa kita. Berbaloikah usaha yang kita lakukan sekiranya kita gagal pada permulaan dan berhenti di situ sahaja? Kita telah dikurniakan akal dan fikiran yang waras oleh Allah, jadi gunakanlah nikmat kurniaan tersebut dengan sebaiknya untuk merungkai perosalan ini.

                Saya ingin mengajak anda berfikir sejenak, adakah kegagalan yang membawa kepada rasa putus asa? Atau adakah putus asa yang membawa kepada kegagalan? Jawapannya sudah tentu rasa putus asa yang menjerumuskan kita ke arah kegagalan. Sikap putus asa ini seharusnya kita lawan dan jangan sesekali benarkan perasaan tersebut menguasai diri kita.

                Perasaan putus asa bukanlah sikap yang baik untuk mereka yang bergelar pelajar sama ada pelajar di peringkat rendah, pertengahan ataupun peringkat tinggi. Kerana, dalam dunia sebagai seorang pelajar terlalu banyak dugaan dan kepayahan yang akan ditempuh.Hanya terletak kepada mereka yang mengidamkan kejayaan yang akan terus mempertahankan kekebalan semangat mereka tanpa menghiraukan rasa putus asa yang sering datang tidak mengira masa dan waktu.Jika terasa malas sewaktu belajar, itu juga merupakan sikap putus asa yang membawa kepada kegagalan.
               
                Kita perlu ingat, jangan jadikan putus asa sebagai salah satu agenda dalam diari hidup kita.Tetapi jadikan rasa inginkan kejayaan dan mengejar kepada kehidupan yang lebih bermakna sebagai matlamat kita.Putus asa seakan musuh yang tidak kita menyedarinya. Sikap itu datang dalam keadaan spontan dan halus.Seharusnya kita mengetahui erti putus asa.Putus asa ialah musuh utama yang akan membawa kepada pelbagai sikap negatif lain.Malas timbul kerana rasa putus asa. Hilang semangat juga timbul kerana putus asa.Semuanya bermula daripada putus asa.Jangan biarkan rasa putus asa menguasai diri kerana akan membawa kepada sikap negatif yang lain.

                Sikap putus asa amatlah dilarang dalam islam. Ini adalah berdasarkan fiman Allah ;

“……dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir” – Surah Yusuf Ayat 87

                Setiap daripada kita juga tidak akan terlepas daripada pelbagai ujian dan dugaan dalam menempuh hidup di dunia ini. Tidak akan ada satu makhluk pun yang tidak akan ditimpakan keatasnya ujian dan dugaan. Alangkah kekasih Allah, Nabi Muhammad juga Allah turunkan pelbagai ujian dan dugaan kepada baginda sepanjang usaha baginda menyampaikan dakwah menyebarkan agama islam yang maha suci ini. Hal ini bertepatan dengan firman Allah di dalam alQuran ;

“Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
Dan dalam ayat yang lain Allah menerangkan: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan; Kami telah beriman sedang mereka tidak diuji lagi?”

                Setiap ujian dan dugaan yang dihadapi oleh setiap makhluk adalah berbeza. Ada yang diuji dengan kegagalan, kekecewaan, urusan hidup yang susah, kemiskinan dan kesedihan. Tidak ketinggalan juga mereka yang diuji dengan kekayaan, harta dan kuasa untuk Allah melihat sejauh mana rasa syukur mereka kepada Allah. Ujian dan dugaan yang dihadapi seharusnya tidak menjadi penghalang, malah akan menjadi batu loncatan kepada diri kita untuk terus memacu kejayaan yang lebih cemerlang di muka bumi ini. Kita seharusnya bijak mengubah nasib diri kita sendiri dengan segala kudrat yang telah dikurniakan kepada kita. Firman Allah di dalam alquran, surah ar-ra’d, ayat 11 ;

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.

Seperkara lagi, kita seharusnya percaya bahawa Allah tidak akan menimpakan ujian dan dugaan kepada hambanya seandainya hambanya tidak mampu menghadapinya. Setiap dugaan yang kita hadapi pasti ada jalan penyelesaiannya. Firman Allah dalam surah al-Insyirah (as-Syarh)

Kerana sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan, 


sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan
.

                Sentiasa memohon pertolongan Allah dalam segenap hal dan bertawakal kepada Allah. Dari Abdullah Bin Mas”ud RA, bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yanny selalu ditimpa kesedihan/kegundahan maka hendaklah dia membaca: “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-mu, dan anak abdi-Mu, dan anak-anak-Mu, dan (berada) didalam genggaman-mu, ubun-ubunku ditangan-Mu, dan berlaku keatas (diri) ku hukum-Mu, dan adil padaku ketentuan-Mu, aku memohon kepadaMu dengan semua nama milik-Mu, (samada) yang Engkau namakan diri-Mu dengannya, atau yang Engkau turunkan dia di dalam kitab-Mu, atau yang Engkau simpan tersembunyi di alam ghaib disisi-Mu; kiranya Engkau jadikanlah Al Quran sebagai penghibur hatiku, dan sebagai penawar kesedihanku dan kedukaanku”. Tidak seorang hambapun yang membaca doa tersebut melainkan Allah hilangkan kedukaannya dan diganti-Nya (kesedihan itu) dengan kegembiraan.

Salam ukhwah,
Mohd Ikmal bin Asmuni
5 Azam
Pujangga 1
SPM 2011


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...