Tuesday, 24 January 2012

Perubahan, Dakwah dan Teladan

Perubahan, Dakwah dan Teladan
Oleh : Mohd Ikmal bin Asmuni
5 Azam
Pujangga 1
BADAR 2011
SPM 2011

Assalamualaikum dan salam ukhwah
                Kali ini, saya ingin sekali bercerita kepada anda semua tentang seorang insan yang amat saya kagumi. Beliau bukanlah orang ternama ataupun seorang yang popular di luar sana. Namun beliau adalah seorang yang amat rapat dengan saya. Identiti individu tersebut tidak dapatlah saya rungkaikan kerana yang saya ingin sampaikan disini hanyalah kisah dirinya yang boleh dijadikan teladan kepada kita semua.

                Bermula sebagai seorang yang kurang memahami hakikat sebenar iman dan takwa, beliau seringkali terjerumus ke kancah yang tidak sihat dan terpesong dari dunia islam. Setiap tingkah lakunya bukanlah bersandarkan hakikat sebenar cara hidup seorang yang bergelar muslim. Seharusnya seorang yang bergelar muslim itu bertindak bersandarkan cara hidup muslim yang sebenar. Bagaimana cara hidup muslim yang sebenar? Semua itu telah dirangkumkan dalam kitab suci alquran dan sunnah Rasulullah. 

                Semakin hari semakin bertambah gejala yang tidak sihat berlaku dalam dirinya. Namun, hasil
 didikan dan semangat ingin berubah yang ada pada dirinya telah membuatkan beliau semakin tertarik untuk mendalami cara hidup seorang muslim yang sebenarnya. Niat untuk berubah yang ada pada dirinya sangat mulia dan harus disokong. Tetapi, sokongan yang diharapkan berubah menjadi cemuhan dan ejekan daripada rakan-rakan dan orang sekeliling. Kenapa begitu sekali tindak balas yang ditunjukkan kepada mereka yang ingin sekali mendekatkan diri mereka dengan Allah? Setiap manusia itu berhak untuk kembali ke jalan yang benar selagi pintu taubat Allah masih terbuka dan selagi nyawa masih di jasad.

                Satu persatu persoalan tentang agama diselaminya. Semakin lama semakin banyak bahan ilmiah yang dibacanya. Walaupun menghadapi pelbagai tohmahan dan kata-kata fitnah, semangat untuk kembali ke jalan Allah tidak pernah gugur dan luntur dalam sanubarinya.

                Satu persoalan terdetik dalam fikiran. Apakah pemangkin yang menyebabkan beliau ingin kembali ke pangkal jalan? Masakan pokok bergoyang jika tiada angina, betul tak? Jadi, persoalan ini tak akan saya biarkan terus membelunggu diri ini. Mari kita singkap tirai pesoalan bagaiman beliau menemui hidayah Allah ini. Bermulalah sesi soal jawab saya bersamanya dan berikut merupakan dialog antara kami (diubah suai ke dalam bentuk yang lebih sesuai untuk bacaan. Waktu dan tarikh sesi soal jawab adalah berbeza)

Soalan 1,
Saya lihat awak sekarang minat betul dengan bahan ilmiah terutamanya yang berunsur keagamaan?
Jawapan 1,
Saya seronok baca bahan2 ni semua. Boleh dekatkan diri dengan Allah.
Soalan 2,
Apakah yang menyebabkan anda terdetik untuk mendalami semua ini?
Jawapan 2,
Saya nak tahu semua tentang islam ni sebab saya rasa saya benar2 sudah jauh menyimpang dari ajaran islam yang sebenar. Walaupun dalam kad pengenalan saya tertulis agama saya agama islam, namun saya rasakan islam itu hanyalah pada nama.
Soalan 3,
Siapa yang menggalakkan anda untuk kembali kepada ajaran islam?
Jawapan 3,
Semua ni bermula apabila saya berada di sebuah in stitusi baru yang agak asing bagi diri saya. Kehidupan di tempat tersebut amat berbeza dengan kehidupan saya. Apabila semakin lama saya berada di tempat tersebut barulah saya sedar yang saya dah terpesong dari ajaran islam yang sebenarnya. Saya ada seorang rakan, dia sangat menitikberatkan soal kehidupan cara islam. Walaupun saya bukanlah orang yang mengikut cara islam, namun dia tetap sudi berkawan dengan saya. Setiap kali perbualan dengannya, pasti ada sahaja kata2 nasihat dan pujukan yang membuatkan saya tertarik untuk mendalami ilmu islam.
Soalan 4,
Adakah sebab dia kamu nak berubah?
Jawapan 4,
Faktor utama bukanlah disebabkan olehnya. Dia adalah sebagai pemangkin kepada hijrah dalam diri saya ini. Boleh saya katakana dia adalah sebagai inspirasi kepada saya. Setiap teguran dan nasihat yang disampaikannya boleh diterima dengan baik. Gaya penyampaiannya yang bersahaja dan diselangi dengan konsep humour amat menarik perhatian saya. Tidak ketinggalan juga dengan potongan ayat-ayat alquran dan hadis yang menjadi penguat hujahnya.
Soalan 5,
Jadi bagi kamu, cara dakwahnya yang membuatkan kamu tertarik untuk berubah kepada yang lebih baik?
Jawapan 5,
Jika kita lihat, Rasulullah semasa dakwahnya, baginda sangat lemah lembut dan menyampaikan segala ajaran dengan penuh hikmah. Tiada sebarang kekerasan atau unsur paksaan. Dakwah sebeginilah yang sesuai untuk semua masyarakat. Dia menunjukkan contoh yang baik kepada orang yang ingin disampaikan dakwah kepadanya.
Soalan 6,
Adakah dia meminta supaya anda berubah dengan cepat?
Jawapan 6,
Sudah tentu tidak. Manusia tidak boleh terus berubah secara drastik. Perubahan memerlukan kita melalui pelbagai peringkat. Dikhuatiri jika kita berubah secara drastik, kita tidak akan istiqamah dan tiada rasa ikhlas untuk berubah kerana Allah.

                Itulah sedikit sebanyak persoalan yang dapat saya ajukan kepadanya. Siapa yang memberi dakwah kepadanya tidak perlulah saya nyatakan di sini. Jika kita lihat disini, dakwah yang disampaikan kepada rakan kita itu adalah tidak bersandarkan kepada paksaan. Dakwah yang disampaikan adalah dengan penuh hikmah dan uswatun hasanah iaitu contoh yang baik.

                Setelah sekian lama bersahabat dengannya, beliau masih mendalami ilmu agama tanpa jemu dan sering mendekatkan diri beliau dengan yang Maha Kuasa. Semoga coretan ini memberi manfaat kepada anda semua.
                Coretan yang dihasilkan ini tidak mempunyai tema yang utama. Ianya lahir dari hati berdasarkan kisah benar. Semoga anda semua dapat mengupas makna tersirat yang terkandung dalam coretan ini dan dapat digunakan dalam kehidupan seharian kita di dunia ini untuk mencapai kebahagiaan abadi di akhirat kelak. And baca, anda yang menilai. Wallahu a’lam.
Salam ukhwah




1 comment:

it's me, xxx said...

Semoga sahabat kamu itu berterusan dalam hijrahnya...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...